SELAMAT BERINFORMASI

Thursday, December 3, 2009

Memori Lama (bah.1)

Aku ingin menceritakan tentang suatu peristiwa ketika aku masih bujang lagi.Sebelum aku memasuki bidang perguruan,aku adalah seorang budak kampung yang kerjanya adalah menoreh getah.Itu pun kebun getah ayahku.Di saat ayahku mula uzur,beliau menyerahkan usaha menoreh getah kepadaku.Kebunnya terletak jauh daripada kampung.Aku bermotosikal ke sana.Jam 6.30 pagi aku memulakan perjalanan.Hampir setengah jam barulah sampai.Dengan sebilah pisau di tangan aku memulakan menoreh dari sebatang pokok ke sebatang pokok.Di samping menoreh aku juga mengumpulkan getah segerap.Hinggalah ke pukul 10.00 pagi barulah kesemua pokok siap ditoreh.Sementara menunggu getah tus,aku minum dan makan bekalan yang dibawa.Nyamuk menjadi kawan karibku.Macam lalat mengerumuni setiap anggota badan.Sekali di tampar hampir 4 ke 5 ekor yang mati di tanganku.Namun,nyamuk tak pernah serik.
Jam 10.20 aku mula mengumpulkan susu getah ke dalam baldi.Susu kemudian dimasukkan ke dalam takung getah untuk dibekukan.Asid dicampurkan dan susu dikacau hingga beku.Setelah itu,getah dikeluarkan dan dileperkan dengan tangan.Kerja ini telah menjadi kebiasaanku.Alah bisa tegal biasa.Untuk menipiskan kepingan getah tadi digelek dengan mesin peleper getah.Seterusnya kepingan dimesin dengan peleper berbunga.Kepingan getah sebanyak 13 keping diletakkan di atas motorsikal untuk dibawa pulang ke rumah.Sampai di rumah kepingan getah diampaikan di belakang rumah untuk dikeringkan.Menjelang petang kepingan getah diletakkan di bawah rumah.Begitulah rutin harianku kecuali jika hari hujan.
Sebelah petangnya aku bermain bola sepak bersama rakan sekampung.Disebabkan tiada padang kebun getah orang kampung jadi tempat bermain.Kadang-kadang merungut tuan punya kebun getah kerana habis cawan dan sudu getahnya rosak.Apa nak buat masa tu tak terpikir pun hal begitu.Yang penting rasa seronok dan dapat hilangkan rasa bosan.
Menjelang maghrib aku ke masjid.Pada masa tu, suasana jemaah masjid tak macam sekarang.Kadang-kadang aku seorang je orang muda dan adalah seorang dua orang dewasa untuk sembahyang jemaah kat masjid.Berkat sabar dan semangat dijiwa remaja yang ada padaku,aku istiqamah juga.Bila cuti adalah kawan lama yang turut bersamaku untuk mengimarahkan masjid.Tambahan pula adalah seorang guru agama Cikgu Alias (dah meninggal ketika aku di Maktab)yang turut bersama kami untuk berbincang hal-hal agama dan isu semasa.Imam pula Pak Utehku yang kadang-kadang ada kadang-kadang tidak ada.
Semasa bersembang-sembang aku meluahkan perasaanku,bagaimana jika suatu hari nanti anak-anak muda menjauhkan diri daripada masjid.Siapakah yang akan menjadi imam,bilal?Siapa yang nak uruskan jenazah?Sehingga hari ini pun di kampungku masih berkeadaan macam tu.Apa nak buat,kesemua anak-anak muda tidak disalurkan ke pendidikan agama.Masing-masing melanjutkan pelajaran dalam bidang keduniaan.Ramai anak-anak muda kampungku telah meninggalkan kampung kerana mereka semua bekerja di tempat lain.Adik-beradikku sendiri daripada 11 orang yang ada hanya seorang saja yang tinggal di kampung.Dialah adikku yang bungsu yang menghuni rumah pusaka ibu dan ayahku atas persetujuan dan sepakat kami adik-beradik.Yang lain semua telah mempunyai rumah dan pekerjaan di tempat lain seperti aku yang kini menetap di Labis.Walaubagaimanapun kami masih lagi mempunyai talian keakraban adik-beradik dan boleh berkunjung dan berkumpul sekiranya ada majlis-majlis khenduri atau perkahwinan.O keylah setakat ni sajalah memori kali ini.Kita sambung lagi di lain masa.



No comments:

Post a Comment