SELAMAT BERINFORMASI

Sunday, March 18, 2012

Kenangan Masa Cuti

Sepanjang cuti pertengahan semester satu tahun ini,masaku habiskan ke sekolah.Disamping menjalankan tugas sebagai pentadbir,aku juga mengajar kelas tambahan tahun enam.Aku mengajar kelas 6 Alfa mata pelajaran Bahasa Melayu.Kali ini aku lebih memfokuskan agar murid ku dapat membaiki kelemahan dalam penulisan. Aku dapati lebih empat orang yang masih terlalu lemah untuk penulisan.Aku akan cuba baiki kelemahan mereka dengan caraku sendiri.Dari hari Isnin hingga Khamis aku ke sekolah.Kelas tambahan hanya hari Rabu. Walaupun tiada tugas rasmi di pejabat,namun kerja-kerja ringan aku dapat uruskan dengan baik.
Aku merancang cutiku untuk ke Kelantan dengan tujuan melihat kediaman rumah sewa anakku yang belajar di UiTM Machang.Aku bersama isteri dan tiga anakku bertolak dari rumah jam 1.40 petang.Kami singgah dahulu di kedai makan asam pedas.Sungguh selera aku makan di situ dapat makan ikan patin masak tempoyak. Selepas makan kami teruskan perjalanan menghala ke Muadzam Shah.Sampai di Muadzam aku singgah di pam minyak kerana tunaikan hajat.Kemudian meneruskan perjalanan ke arah Gambang.Perjalanan sungguh selesa kerana cuaca redup dan tiada halangan yang ditemui.Selepas itu Aku masuk ke lebuhraya pantai timur dan keluar ke arah Kuantan.Kami berhenti rehat untuk solat Asar di R&R Kuantan.Kami menuju ke Cherating kerana bercadang untuk bermalam di sana. Kami berehat sebentar di sebuah warung untuk minum petang.Jam di tangan dah pukul 6.30 petang.Selesai minum,kami teruskan perjalanan mencari tempat sesuai untuk menginap.Akhirnya,kami masuk ke Cherating BayRiver dan kami menempah apartmen.Bayaran dikenakan RM216.00.Setelah berehat seketika dan solat maghrib serta Isyak,kami keluar untuk makan malam.Kami singgah di sebuah warung yang ada ikan bakar.Aku dan isteri menempah ikan merah dua ekor.Setelah ditimbang harganya RM55.00.Terkejut juga aku.Tak apalah sekali-sekali makan harga mahal.Ramai juga pelanggan di warung tersebut.Warung di seberang jalan tak ada orang pulak.Lebih kurang 40 minit juga tunggu makanan.Air panas dah mula sejuk.Yang sejuk dah separuh.Barulah makanan sampai.Ikan bakar menyelerakan makan kami malam itu.Bayarannya RM79.00.Selepas itu kami balik semula ke tempat penginapan.Sampai saja badan memang letih dan terus tidur.Pagi-pagi lagi dah bersiap untuk bertolak ke Kelantan.Aku singgah di stesen minyak kerana perut dah memulas nak lepaskan hajat.Kemudian teruskan perjalanan dan berhenti di gerai makan pantai Kemasik.Makanlah nasi lemak dan air teh.Setelah bertenaga kami teruskan perjalanan.Dari satu bandar ke satu bandar dilalui.Paka,Dungun,Kuala Terengganu dan ke Jerteh.Kami tiba di Machang jam 12.15 tengah hari.Isteriku menelefon anakku.Setelah menghantar isteri dan anak perempuan ke rumah sewanya,aku dan dua lagi anak lelaki ke masjid Kg.Belukar untuk solat Jumaat.Pengalaman Jumaat di sini berbeza dengan di Johor.Khatib terus memberi salam,kemudian bilal azan kedua.Khatib pun membaca khutbah.Kalau kat Johor,bilal akan ke depan membaca ayat salawat atas nabi,imam beri salam dan bilal pun azan kedua.Ada tempat bilal beri peringatan kepada makmum untuk diam.Kemudian barulah imam baca khutbah.
Setelah solat Jumaat selesai,aku tunaikan solat jamak qasar Asar sekali.Selepas itu aku ke rumah sewa anakku dan ambil mereka untuk pergi makan tengah hari.Makanlah kat gerai depan UiTM.Walaupun perut lapar tapi makanannya kurang menyelerakan.Agaknya masakan kat sini tak kena dengan seleraku.Redha ajelah.Makanlah sekadar mengalas perut.Sementara tunggu makanan tu aku cubalah telefon kawan lama Cikgu Sakri tapi tak berjawab.Aku cuba telefon seorang lagi kawanku cikgu Wan Mustafa.Alhamdulillah telefon bersambut.Dia pelawa aku ke rumahnya dan ajak tidur sekali.Pucuk di cita ulam mendatang.Kecil tapak tangan nyiru ku tadahkan.Walaupun isteriku beriya-iya tak hendak terima pelawaan tidur,aku hanya berdiam diri sahaja.Sebelum ke Kota Bharu,anakku ajak ke Pekan Machang.Dah tahu kalau hari Jumaat kedai tutup.Pergilah ke pasar dan belilah ole-ole untuk pergi rumah kawan.Kami pun teruskan perjalanan ke Kota Bharu melalui Tanah Merah.Anakku ternampak pekan Nilampuri.Aku terlajak sedikit dan telefon semula kawanku.U-turn balik dan masuk ke arah Pasir Mas dan Tumpat.Teruskan perjalanan hingga satu lampu isyarat ke arah Tendong.Salah masuk lagi.Telefon lagi.Akhirnya berhenti kat situ.Depan sekolah SK Osman Talib (1).Kawanku datang untuk ambilku dan terus ke rumahnya di Pasir Pekan.Waduh,besarnya rumah kawanku ini.Ruang depan boleh muat 6 kereta.Apabila ditanya kos katanya RM200,000.00.Tiba di rumah kami disambut oleh adik ipar kawanku.Isterinya juga adalah kawan lama isteriku.Jadi tak ada masalahlah kerana telah tak berjumpa.Panjang lebarlah cerita kami pada hari itu.Kononnya nak balik semula ke Machang,jam dah 6.30 petang.Aku cakap pada anakku bawalah keluar beg dalam kereta dan masuk bilik yang telah kawanku sediakan.Aku pesan kepada anakku supaya mandi dan bersiap untuk solat maghrib serta isyak.Selepas itu kami dijemput untuk makan malam bersama.Kemudian kami terus berbual panjang lebar tentang isu semasa dan kenangan lama.Jam dah 10.15 malam.Aku pun masuk ke bilik dan bersiap untuk tidur.Payah juga nak tidur kerana batuk dan akhirnya terlena juga.Jam 5.00 pagi aku terus bangun dan mandi.Kemudian kejutkan anak-anak untuk bersiap kerana kawanku ini ada urusan.Jam 6.20 barulah solat subuh.Dan kemudian berkemas masuk barang ke dalam kereta.Setelah bersarapan,kami bergambar sekejap untuk kenangan.Jam 7.50 pagi kami pun bertolak balik ke Machang.Anakku ajak ke Tanah Merah pulak.Sampai kat Tanah Merah kedai belum dibuka.Aku hubungi kawanku Sakri.Dia ajak kami ke rumahnya.Rumah kampung.Besar juga rumahnya.Tukang sendiri.Hebat kawanku ini.Punya kemahiran bertukang.Kawasan rumahnya dikelilingi kebun getah dan ada membela lembu.Banyak juga lembu yang dipelihara.Anaknya ada sembilan tapi satu meninggal.Anak kedua perempuan dah berkahwin dan punyai seorang anak.Dah bercucu kawanku ni.Setelah diberikan minuman,kami pun minta izin untuk balik.Kawanku ini bawalah kami keluar dari kawasan kampungnya menuju ke Pekan Tanah Merah.Sampai di pekan,isteri dan anak-anakku ke kedai buku.Aku dan Sakri duduk bersembang depan BSN.Setelah urusan membeli selesai kami ucapkan terima kasih pada kawanku ini dan bertolak ke Machang.Aku hantar anakku ke rumah sewanya.Lepas itu,kami teruskan perjalanan untuk balik ke Labis.Aku sasarkan perjalananku tidak terlalu panjang.Aku melalui lebuh raya pantai timur.Masuk kat Bt Enam dan keluar ke Telemung.Ingatkan lebuh raya dah siap.Rupanya dalam proses pembinaan.Tol pun belum disiapkan lagi.Tapi perjalanan bergerak lancar tanpa halangan.Kami tidak melalui bandar yang sibuk dan sesak.Keluar ke pekan Telemung menuju ke Ajil dan masuk semula ke lebuh raya.Lebuh raya memang dah siap,tapi kemudahan R & R belum digunakan lagi.Kami keluar ke Pekan Bukit Besi dan singgah di gerai makan ke arah Kuantan.Aku perhatikan batu dijalan menuju ke Kuantan 133km.Aduh jauh lagi.Jalan ini adalah kali pertama aku laluinya.Walaupun tiada trafik light tapi jalannya berlubang.Perjalanan lancar tapi kalau ada lori terpaksa perlahankan kenderaan.Orang kata inilah jalan Jabor.Kami keluar melalui jalan Kuantan Kuala Lumpur.Penat memang penat.Perjalanan diteruskan.Nak beri anak pandu takut dia kurang yakin dan tak tahu arah jalan.Tiba di Gambang jam 6.00 petang.Teruskan perjalanan ke Muadzam dan sampai jam 6.55 petang.Nak berhenti alang kepalang.Teruskan perjalanan ke Segamat.Aku masuk jalan ke kampungku.Isteri beri pesanan kepada adikku yang kami akan singgah di rumahnya.Kami tiba di rumah adikku jam 7.45 malam.Kami bersolat maghrib dan isyak di rumahnya.Setelah minum diberi,kami pun balik ke Labis.Tiba di rumah jam 9.50 malam.Sebelumnya kami singgah kat kedai mamak di Taman Tenang pekena teh dan mi goreng.Begtulah perjalananku semasa cuti sekolah ini.Sesuatu yang baru bagiku apabila adik ipar kawanku berikan ramuan ubat batuk.Katanya ambil seulas bawang putih kemudian dibakar,setelah itu dilumatkan dan diletakkan ke atas sudu besar dan masukkan madu lebah dan minum.Akan ku cuba ramuan itu.Kalau bersarapan di Kelantan makan nasi berlauk.Kuih yang ada cek mek molek dan chakui.Nasi dagang pun ada.Tapi aku tak biasa makan nasi pagi-pagi.

No comments:

Post a Comment