SELAMAT BERINFORMASI

Thursday, January 28, 2010

Pergi tak kembali

Perginya seorang kawan dan sahabatku.Kata gurauannya selama ini masih terngiang-ngiang di telingaku.Ungkapan CP suatu masa dahulu mengingatkan aku tentang kereta lama aku yang bernombor pendaftaran CP8705.Kerera Mitsubishi Lancer.Kini kepunyaan seorang peneroka di Felda Maokil.Abang Jalil.Setiap kali aku ke PPD apabila bersua muka dengannya akan terpacul di mulutnya mengenai plet CP.Wah, dah tak CP (sipi)lagi.Dah tepat,sambil tersenyum.

Tatkala aku hendak pergi ke Tanah Suci Mekah,beliau begitu teruja untuk bertemu dengan ku. Beliau ingin memberikan beberapa tip-tip agar aku lebih bersedia sebelum ke Tanah Suci."Aku ingin kau beli tuala besar,pakai dua lapis dengan kain ihram,kalau ke bilik air/tandas, kain ihram kita tanggalkan.Jadi taklah kena najis pada kain ihram," katanya kepada ku."Kau bawa juga tikar plastik untuk alas.Bawa bekas air yang ada muncung spray.Gunanya ketika kita berada di Mina. Kemudahan airnya terhad.Ramai orang.Kita berwudhu' dengan air dalam bekas spray.Selain itu, nah aku bagi kau doa yang aku dapatkan daripada Prof UiTM.Aku minta izin daripadanya untuk digunakan.Kau ubahlah ikut cara perjalanan kau.Lalu beliau mencetakkannya.Aku ambil dan ucapan terima kasih ku kepadanya.Semoga kita sama-sama beroleh keredhaan Allah.

Sehari sebelum beliau meninggal,aku ke PPD.Di bilik seminar.Semua GPK KK menghadiri Taklimat daripada PPD En.Yasiran,Hj.Anuar,En.Zulkifli Esa, dan En Muazam Shah.Beliau adalah pengacara dan juga penyampai taklimat pada petang itu.Kata-katanya yang seolah-olah bombastik dan berseloroh, menghiburkan.Ketegangan dalam tugas,walaupun susah sekalipun, namun diselangi dengan jenaka menghilangkan rasa tertekan.Begitulah sikap beliau.Suka berjenaka.Di samping itu adakalanya mengena.Beliau tidak terus menunjukkan kemarahan walaupun ada sekolah yang tidak menghantar laporan yang diminta.Namun dalam setiap kali beliau memberikan taklimat,banyak kata-katanya berupa pukul anak sindir menantu.Begitulah kawanku ini Allahyarham Hj.Hamzah Bin Abd Majid.

Kami sama-sama menuntut semasa di Tingkatan Enam dahulu.Di Sekolah Tinggi Segamat.Aku pun berkenalan dengannya hanya sekejap sahaja.Beliau hanya 3 bulan sahaja semasa di Tingkatan Enam Bawah.Ini kerana beliau mendapat tawaran ke Maktab Perguruan.Beliau menjadi guru lebih awal daripada aku.Beliau pernah bertugas di Kluang.Kemudian,ke SK Paya Besar.Beliau menjawat jawatan SU Sukan MSSD Segamat setelah En.Bardin Uteh menjadi Guru Besar. Beliau akhirnya terus menetap bertugas di PPD Segamat.

Walaupun beliau seorang yang baik hati,namun ada juga di kalangan guru besar atau guru-guru lain tak berapa suka dengan cara beliau.Serius, dalam menjalankan tugas.Kadang-kadang kata-katanya selalu mengenakan seseorang.Kalau memantau ke sekolah, apa sahaja alasan yang diberikan oleh pentadbir sekolah akan dikias,dipatah,dan disiniskan.Itulah beliau.

Kini beliau telah pergi.Pergi untuk selama-lamanya.Pergi yang tak akan kembali lagi.Beliau telah menghadap Ilahi Tuhan Rabbul Jalil. Pemergian beliau untuk menghantar maklumat dan mesyuarat di Kluang, mengakhiri tugas beliau sebagai penjawat awam.Beliau telah mengalami kemalangan yang meragut nyawa beliau.Semoga Allah mengampun dosa-dosa beliau dan roh dicucuri Rahmat.Amin Ya Rabbal Alamin.

Tuesday, January 26, 2010

Sukan untuk semua

Hari ini 26 Januari 2010, aku ingin menulis tentang perubahan jadual hari sukan sekolah.Sepatutnya kita bersukan pada 4 Februari 2010. Justeru,berlakunya kemangkatan Sultan Iskandar maka segala perancangan ditangguhkan atau diganjakkan ke hadapan. Hari Sabtu yang lalu sepatutnya mengadakan pertandingan Merentas Desa, tapi tergendala dan hasil perbincangan aku dengan guru besar,kami setuju untuk adakan pertandingan merentas desa pada 6 Februari 2010 iaitu hari Sabtu.

Pada tarikh 3 Februari kita akan adakan sukantara,esoknya 4 Februari kita jalankan acara akhir padang iaitu lompat tinggi,lompat jauh,lontar peluru,dan merejam lembing. Acara Raptai kita akan adakan pada 10 Februari manakala majlis besarnya pada 11 Februari 2010 pada sebelah petang. Kita juga cuba dapatkan sumbangan dari pihak tertentu seperti bank rakyat.Kali ini pegawainya memberikan lampu hijau agar kita hantar surat untuk mohon sumbangan dan pihak beliau minta izin guru besar untuk mereka membuka satu kaunter pada hari sukan tersebut untuk urusan bisnes mereka.

InsyaAllah,sukan kita kali dapat berjalan dengan baik.Kita juga akan mengadakan acara untuk ibu dan bapa.Kita tawarkan hadiah kepada yang menang.Penglibatan ibu bapa dalam bidang sukan akan menyerikan majlis kita pada tahun ini.Tentang cenderamata hari sukan aku dah bincang dengan guru besar dan jawapannya setuju.Kita buat ini untuk semua warga sekolah dan rakan-rakan pegawai jemputan serta dif-dif yang kita jemput nanti.

Sesungguhnya sesuatu majlis itu akan bertambah seri lagi andainya kita semua memainkan peranan masing-masing.Senarai nama peserta perlulah dikemaskinikan.Ketua Guru Rumah Sukan perlu sentiasa berusaha untuk membantu Setiausaha Sukan kita dalam mengatur dan mengemaskini program sukan sekolah kita.Kesibukan kita dalam urusan P & P memanglah diutamakan. Namun,kita perlu bijak membahagikan masa.Kemudahan teknologi yang ada perlu kita gembelingkan agar segala kerja-kerja kita dapat disiapkan dalam tempoh masa yang kita sasarkan.

Aku kalau boleh ingin membantu rakan-rakan dalam menyelesaikan apa jua masalah. Yalah, aku seberapa daya upaya melalui pengalaman dan kemudahan yang ada ingin membantu mana yang perlu.Bukan hendak berlagak atau bersikap ego, tapi itulah niat dan harapan aku agar dapat memudahkan segala pekerjaan kita untuk sekolah kita.Kepada rakan-rakan kalau inginkan bantuan atau pertolongan silalah berbincang dengan aku.Andai boleh diselesaikan kita selesaikan dengan cara kita.Kita permudahkan mana-mana bahagian yang menyusahkan tugas kita.Cukup kita bertemu lagi di lain masa.

Sunday, January 24, 2010

Ada hikmah di sebaliknya

Kita dikejutkan dengan kemangkatan Duli Yang Mulia Sultan Johor hari Jumaat yang lalu.Aku menerima panggilan dari salah seorang staf sekolah yang bertanyakan apakah hari Sabtu ni kita akan meneruskan aktiviti persekolahan.Hari Sabtu 23 Januari adalah hari ganti persekolahan. Ganti cuti perayaan Tahun Baru Cina.Hari tersebut juga diadakan pertandingan merentas desa peringkat sekolah sempena Kejohanan Balapan dan Padang 2010.

Aku berasa kurang yakin dengan berita yang diterima.Harap-harap tiada apa-apa berlaku.Namun menjelang jam 11.30 malam melalui berita terkini tv3 diumumkan akan kemangkatan sultan Johor. Tak ada pula diumumkan untuk bercuti.Aku cuba hubungi cikgu Yunos . Tapi dia juga tak dapat buat keputusan walaupun telah hubungi guru besar. Begitu juga rakan-rakan yang lain bertanyakan adakah kita akan teruskan rancangan kita.

Akhirnya, menjelang jam 12.00 malam cikgu Yunos hantar mesej, yang mengarahkan supaya ganti sekolah dibatalkan dan segala aktiviti ditangguhkan.Ganti persekolahan akan diberitahu kemudian. Begitulah betapa prihatinnya rakan-rakan dalam soal atau perkara yang berlaku. Keputusan tak boleh dibuat dalam sekelip mata.Perlukan pertimbangan dan perbincangan. Segala keputusan perlu dilakukan dengan bijak. Pihak atasan perlu segera memberikan keputusan agar orang di bawahnya tidak keruan atau penasaran.

Kita ucapkan takziah kepada kerabat di raja Johor atas kemangkatan Sultan Iskandar.Yang patah kan tumbuh yang hilang kan berganti.Penabalan Tunku Ibrahim Ismail sebagai Sultan Johor yang ke 5 meneruskan kesinambungan kesultanan Johor.Kita berharap baginda sultan akan memainkan peranan yang penting dalam menyelamatkan maruah dan kekayaan negeri Johor ini yang semakin terhakis.

Saturday, January 16, 2010

Program Kecemerlangan UPSR 2009


Syukur kepada Allah Ta'ala kerana memberikan kejayaan kepada SK LKTP Redong dalam peperiksaan UPSR 2009. Kita imbas kembali antara program yang dijalankan sepanjang 2009 ini.Lawatan singkat Tuan Haji Sazali Ahmad ke sekolah ini memberikan impak dan semangat kepada warga sekolah dalam membaiki mutu pengurusan dan perjalanan sekolah ini.Segala teguran dan pandangan beliau telah diambil secara positif.
Beliau sanggup hadir untuk memberikan Ceramah Motivasi kepada ibu bapa murid tahun 6.Keyakinan beliau kepada guru besar dan guru-guru sekolah ini tentang keupayaan Redong tahun ini amat tinggi berdasarkan headcount yang beliau lihat.
Kehadiran ibu bapa juga sungguh memberangsangkan.Terutama kaum ibu.Penekanan Tuan Haji Sazali dalam ceramah beliau adalah sesungguhnya anak-anak yang dilahirkan merupakan insan yang cemerlang.Ibu bapa hendaklah sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak.Beliau juga menerangkan waktu-waktu yang makbul ketika berdoa seperti pada waktu hujan turun dan sebagainya.Para ibu dan bapa begitu positif dan bersemangat selepas mendengar ceramah yang diberikan.Ada juga yang bercadang agar kerap diadakan ceramah seperti ini agar dapat memberikan input yang baru kepada mereka demi kejayaan anak-anak.


Selain itu, pihak sekolah dengan kerjasama unit bimbingan dan kaunseling turut menjemput Tuan Haji Rosdin Bin Mahmud untuk memberikan ceramah motivasi kepada calon-calon UPSR 2009.

Disamping itu,pihak pentadbiran juga merancang program anak angkat.Semua GPK dan guru besar mengagihkan murid-murid tahun untuk dijadikan anak angkat.Anak angkat ini dipanggil dari semasa ke semasa untuk diberikan motivasi dan menyelesaikan apa jua masalah yang dihadapi.Murid yang ada masalah dapat meluahkan perasaan kepada mentonya tanpa rasa takut dan malu.Berkat usaha ini menjadikan murid ini bertambah yakin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.





Beberapa Fasa Klinik UPSR juga diadakan.Kerjasama guru-guru lain dalam membantu murid-murid ini memberikan impak atas kejayaan yang dicapai.Sesungguhnya keikhlasan semua guru mencurahkan ilmu tanpa rasa penat dan jemu menambahkan resepi kejayaan.

Guru mata pelajaran memainkan peranan yang amat besar dalam meningkatkan prestasi murid-murid ini.Semangat yang tinggi daripada guru dan murid menjadikan setiap perancangan dan aktiviti berjalan dengan lancar.Setiap kali selepas UPPM diadakan post mortem.Kecekapan dan kebijaksanaan guru besar dalam merencanakan analisis menambahkan keyakinan kepada guru untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan.

Ini hanyalah sebahagian kunci kejayaan.Tahun ini 2010 kita perlu meneruskan usaha dalam mengekalkan kejayaan UPSR sekolah kita.Apa yang penting, kerjasama.Bijak dalam merancang dan bekerja secara bersistematik.Mudah-mudahan segala usaha yang ikhlas akan mencapai kejayaan

Komitmen dan Dedikasi

Catatan kali ini memperkatakan komitmen dan dedikasi.Dua perkataan pinjaman yang selalu digunakan dalam bidang perguruan.Komitmen seseorang dalam bidang tugas masing-masing menjadikan tugasan yang diberikan dihayati dan dipertanggungjawabkan.Mereka akan menjalankan tugas dengan penuh disiplin dan bekerjasama.Segala kerja dilakukan secara kolektif tanpa mengira itu bukan kerja aku atau itu orang lain punya kerja.Kerjasama yang erat antara satu sama lain memberikan impak terhadap setiap pekerjaan.Kepuasan dalam diri yang melakukan kerja yang diberi memberikan ketenangan dan keseronokan.Segala penat lelah akan hilang.Walaupun menghadapi tekanan,bebanan fikiran untuk memikirkan, namun dengan adanya sahsiah diri yang baik,iman yang teguh,keyakinan yang tinggi,nescaya segala kerja yang dilakukan akan memperoleh kejayaan.Ingat kata-kata pujian merupakan perangkap emosi kita.Salah tafsiran membuatkan kita berasa ujub,takabbur dan sombong diri.Seandainya kita lalai dan alpa maka punahlah segala amalan kebaikan kita.Carilah keredhaan Allah dan janganlah mencari keredhaan manusia.

Dedikasi pula digambarkan seseorang yang menjalankan tugas tanpa mengira masa,tanpa memilih sesiapa,tanpa rasa jemu dan sentiasa istiqamah dalam menjalankan tugas.Walau berat mana pun tugas yang diberikan, akan dibereskan juga tanpa rasa prejudis.Sikap sanggup berkorban masa,tenaga,wang ringgit dan sebagainya menjadikan seseorang itu merasakan satu kepuasan apabila tugasan yang diamanahkan dapat dilakukan dengan penuh kesempurnaan.Walau berat mana pun tugas yang diberikan, kita hendaklah menerimanya dengan tabah,sabar dan berdoa kepada Allah semoga Allah membantu meringankan dan memudahkan kerja-kerja yang diberikan.Gunakanlah kebijaksanaan untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.Perbincangan dan bertukar pendapat,atau mendapatkan maklumat daripada orang lain mungkin dapat memberikan input dan outpun dalam membantu kita membereskan kerja yang ingin kita lakukan.

Justeru, marilah kita sama-sama memikirkan cara dan jalan untuk memperkasakan tugasan kita demi anak bangsa dan agama yang kita sayangi.Janganlah kita cemarkannya dengan fahaman yang jumud dan jahil.Sesungguhnya kita hanya hamba Allah yang kerdil dan lemah yang sentiasa bergantung harap kepada Allah pencipta alam.Marilah kita mencari keredhaanNya.Semoga kita diberkati dan diredhai.Wasalam.

Sunday, January 10, 2010

Selamat Tahun Baru

Dah lama tak tulis,bukan apa,kesuntukan masa.Banyak perkara perlu dilakukan.Pembukaan awal persekolahan mengekang masa untuk menulis.Segala kerja perlu disiapkan.Perancangan program takwim,fail,dan sebagainya perlu dikemaskini.Sasaran menyiapkan takwim mestilah tepat pada masanya.Semua guru mesti dapatkan takwim pada hari pertama mesyuarat.Walaupun kurang lengkap, namun dapat juga disiapkan dalam masa yang ditetapkan.Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar.Semangat semua guru berkobar-kobar.Tahun 2010 ini menjadi cabaran untuk mengekalkan kecemerlangan 2009.SK Redong dipandang tinggi kerana kecemerlangan UPSR nya.

Tahun ini 3 orang guru lama sekolah ini bertukar.Tapi kita dapat penggantinya juga 3 orang yang baru.Diharapkan mereka dapat memberikan kerjasama membantu menambahkan kecemerlangan sekolah ini.

Hari pertama persekolahan amat menggalakkan.Walaupun terdapat beberapa masalah kecil, namun ianya tidaklah menjadi isu yang besar.Kita cuba atasinya dari semasa ke semasa. Beberapa perubahan dalam takwim dapat dilakukan dengan kemasukan 3 orang guru baru. Nampaknya GB kita tahun ini ceria dan sentiasa senyum. Kalau dia marah pun tak lah teruk sangat. Kita orang boleh cover.Terima kasih kawan-kawan memberikan kerjasama dan komitmen dalam membantu kami GPK ni.Al maklumlah saya kena cover saudara-saudara GPK ni. Selagi terdaya saya akan cuba bantu untuk kecemerlangan sekolah ini. Rakan-rakan guru semua saya nampak begitu semangat dan ceria pada tahun ini.Tahniah saya ucapkan.

Sesungguhnya apa yang kita lakukan itu jadikanlah amalan ibadah kita.Hanya Allah sahaja yang akan memberikan ganjaran pahalanya.Lakukanlah kerja dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya apa yang kita rasa kita ingin buat,kita buatlah dengan sepenuh hati.Bukan kerana kita disuruh atau diarahkan.Tetapi kerana keinginan kita sendiri dan merasakan satu sumbangan kita kepada sekolah dan masyarakat.Kita ambil ungkapan yang menyatakan,"apa sumbangan kita kepada sekolah, dan jangan tanya apa sumbangan sekolah kepada kita,"Fikir-fikirkan lah.Sekian untuk kali ini.