SELAMAT BERINFORMASI

Wednesday, November 25, 2009

Bermulanya Cuti Sekolah

Aku tak tahu apa nak tulis.Bila mengadap komputer tak ada idea.Ntah apalah agaknya.Maklumlah bila dah cuti ni segalanya macam kering otak.Namun ku gagahkan juga untuk mengisi ruang-ruang masa.Bermula cuti yang lalu aku menerima dua jemputan majlis perkahwinan.Kedua-duanya di Felda Maokil.Yang satu tu rumah Hj.Zainal Daud.Aku ke rumahnya.Dari jauh kedengaran suara nasyid kumpulan remaja.Aku disambut dengan mesra oleh penyambut tetamu dan mempersilakan aku dan isteri menjamu selera.Kemudian kami mengucapkan tahniah kepada tuan rumah lalu beredar ke rumah yang kedua iaitu rumah En.Hamdan.Aku bertemu ramai di kalangan peneroka yang telah lama tidak bertemu dengan aku lagi semenjak aku bertukar ke sekolah lain.Selain itu aku juga bertemu dengan Imam haji Hamim dan isteri kak Zizah.Hampir setahun tidak bertemu setelah kepulangan kami bersama dari menunaikan fardhu haji.Aku memberikannya nombor telefonku.Beliau teringin melihat gambar kenangannya ketika berada di Mekah.Hanya satu keping sahaja gambarnya yang ada pada ku.Itu pun ketika kami berada di Lapangan Terbang Jedah. Akhirnya,kami pun pulang ke rumah.
Menjelang petang selepas Asar, aku dan isteriku ke rumah En. Azhar kerana rewang majlis perkahwinan adiknya.Adiknya adalah seorang ustazah di sekolah yang sama dengan isteriku. Perkahwinannya adalah untuk kali ke dua. Malamnya pula aku ke rumah cikgu Melan kerana khenduri sempena berkhatan anaknya.Sungguh penuh aktiviti aku pada hari itu.Semuanya ada makan-makan.
Keesokan harinya aku sekali lagi ke rumah En.Azhar kerana aku adalah kumpulan Yasin dalam taman-taman Labis Utara.Jadi,kami bergotong-royong menyempurnakan majlis perkahwinan adiknya itu.Aku di tugaskan sebagai penyambut tetamu.Walaupun majlis itu diadakan secara sederhana namun ianya berjalan dengan lancar dan meriah tambahan pula tiada hujan yang turun.
Hari Isnin selepas subuh aku pergi bersenam di dataran Labis.Kemudian,aku ke pasar tani untuk membeli keperluan dapur.Semua anak-anakku berada di rumah.Disebabkan lama tidak bersenam, terasa sengal-sengal dan lengoh seluruh anggota.Aku lepak dan tidur hingga tengah hari.Malamnya pula aku ke masjid Labis kerana hadir mesyuarat Korban Lembu.Korban akan dilakukan pada hari Sabtu jam 8.00 pagi.Aku menyertai kumpulan untuk melapah lembu.Selepas Isyak aku meminta tolong seorang sahabat untuk mengurut badanku yang terasa begitu kurang selesa sekali.Alhamdulillah, selepas diurut terasa segar semula.
Hari Selasa aku ke sekolah untuk berbincang dan merancang program persekolahan 2010.Guru Besar dan semua GPK hadir dalam mesyuarat tersebut.Kami pulang hampir jam 1.30 petang.
Hari Rabu pula aku sekeluarga merancang untuk ke Johor Bahru.Kami bertolak pada jam 11.30 pagi.Tapi sebelum tu,kami singgah ke rumah Kak Yah (isteri Ustaz Wagiman) kerana minta tolongnya mengurut anak lelakiku yang kecil kerana sakit kaki.Jalannya terensot-ensot.Selepas itu kami pun bertolak ke JB.Fokus utama adalah di Angsana.Anak-anakku ingin membeli bahan bacaan masing-masing.Maklumlah dua orang anakku tahun depan akan mengambil peperiksaan SPM dan STPM.Semoga ke dua-dua anakku berjaya dalam peperiksaan tersebut.
Kami kembali semula ke rumah jam 6.30 petang.
Hari ini hari Khamis,aku ke PPD Segamat kerana mengikuti taklimat PRESMARK. Pengisian Markah Prestasi 2009.Begitulah perjalanan masa cutiku.Esok hari raya haji.Aku teringat bila saat-saat begini terbayang semasa aku di Mekah.Para Jemaah Haji sedang berhimpun di Padang Arafah untuk wukuf.Aku berdoa semoga aku dan isteriku dapat peluang lagi untuk ke sana. InsyaAllah.Amin.Wassalam.

Friday, November 20, 2009

Bekalan Kerja Rumah Murid 5 Amanah

Hari ini aku masuk ke kelas 5 Amanah dengan tujuan untuk memberikan sedikit bekalan kerja sepanjang cuti yang panjang ini.Aku memberikan kata-kata semangat kepada mereka agar sentiasa banyak membaca dan membuat ulangkaji pelajaran.Aku mengingatkan merekan agar rajin sembahyang dan melakukan solat Dhuha,Solat Hajat dan mengamalkan bacaan surah Al Waqi'ah.Sediakan jadual waktu pembelajaran semasa cuti.Rajin mengunjungi kedai-kedai buku untuk mendapatkan bahan-bahan tambahan.Aku memberikan kerja-kerja penulisan iaitu mencari contoh-contoh karangan daripada buku-buku karangan dengan menyalin dan menghafal atau memahami format karangan yang ditulis.Antara karangan yang aku pilih untuk mereka salin adalah:
1.Karangan menyudahkan cerita
2.Karangan memulakan cerita
3.Karangan peribahasa
4.Karangan Laporan
5.Karangan Surat Kiriman Rasmi dan Tak Rasmi.
Aku berharap agar mereka semua dapat melakukan tugas ini dengan baik dan bersiap sedia untuk menghadapi UPSR pada tahun hadapan.

Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik 2009















Hari ini 19 November 2009 merupakan Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Kebangsaan LKTP Redong.Majlis ini bertujuan untuk meraikan kecemerlangan murid-murid dalam akademik dari segi kedudukan dalam kelas,mata pelajaran dan sebagainya.Pelbagai acara persembahan diadakan seperti Nasyid,koir,tarian zapin,deklamasi sajak dan sebagainya.Majlis dirasmikan oleh Tuan Haji Sarian Bin Kinting selaku Naib Pengerusi JKKK Felda Redong.Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana menjemput beliau merasmikan majlis.Beliau juga diminta oleh Pengurus Felda Redong,En.Ali Bin Othman bagi menggantikannya kerana ada urusan lain.Hari ini juga hari bersejarah untuk aku kerana diberikan amanah untuk menyampaikan ucapan aluan dalam majlis tersebut.Rasa gementar juga kerana inilah pertama kali aku menyampaikan ucapan rasmi di hadapan orang ramai.Hal ini demikian kerana pada perancangan awal,sepatutnya Guru Besar yang menyampaikan ucapan, namun beliau terpaksa ke Johor Bahru untuk menerima Sijil Penghargaan Sekolah Felda Terbaik UPSR 2009.GPK 1 pula kena ambil keputusan UPSR di PPD mewakili guru besar.Sepatutnya ikut susunan GPK HEM yang kena berucap.Tapi beliau menolak dengan alasan mengurus jamuan.Aku kenalah ambil perhatian akan hal ini dengan memikirkan apa yang hendak aku cakapkan.Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan berjaya aku lakukan. Apabila GPK 1 balik, beliau pun mengumumkan keputusan UPSR setelah semua acara majlis selesai.Semua hadirin dan warga sekolah begitu gembira sekali atas kejayaan yang dicapai.Rasa bersyukur yang tak terhingga ke hadrat Ilahi atas kejayaan yang dikecapi.

Inilah murid-murid yang telah berjaya mencapai keputusan 5A UPSR 2009.Dari kiri Nabilah Shahirah,Siti Hafsah,Noratika,Siti Norhazwani,Norfaiezatul Azwa,Mohd Sanusi dan Mohd Irsyad Taqimudin.Semoga kesemuanya akan diberkati dan mendapat kejayaan hingga ke peringkat yang tertinggi.InsyaAllah.

Tuesday, November 17, 2009

Peristiwa hari ini

Hari ini 17 November, satu perlawanan persahabatan antara guru-guru dengan murid-murid lelaki tahun 6 di adakan.Antara pemain di kalangan guru adalah En.Yunos Bin Auda (GPK 1), En.Shamsul,En.Badrol Hissam,En.Noralazmi,En.Mohd Nazli,En.Rosdi,En.Norhanizan,En.Hairul Faizi,En.Mohd Giman,En.Chan Teck Gee dan seorang bekas pelajar sekolah ini.Perlawanan berlangsung dalam suasana yang mesra.Masing-masing menunjukkan kemahiran dan kebolehan.Keputusannya pasukan guru berjaya mengalahkan pasukan murid Tahun 6 dengan 5 - 3.Tahniah diucapkan.
Seterusnya,majlis latihan Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik dijalankan.Semua murid dikumpulkan ke dalam dewan.Jawatankuasa Pengelola memainkan peranan masing-masing dan mengatur majlis mengikut apa yang dirancangkan.Walaupun terdapat beberapa kelemahan namun segalanya berjalan dengan baik sambil dipantau oleh Guru Besar.Perkara ini akan terus dibaiki pada raptai penuh pada hari Rabu iaitu hari esok.
Selepas itu,kami guru-guru ke kantin untuk menghadiri jamuan perpisahan Tahun 6.Kami menjamu makanan dengan penuh berselera sekali.Tambahan pula ada makluman mengatakan keputusan UPSR sekolah ini bilangan 5A nya ada 7 orang.Walaubagaimanapun guru besar belum begitu yakin lagi,namun berharap dan berdoa agar ianya menjadi nyata.

Guru Besar bersama guru kelas En.Ajis bin Kadir,Pn.Nurhanani Binti Ramlan dan dua orang murid sedang memotong kek sempena majlis jamuan yang diadakan.

Saturday, November 14, 2009

Budi disemai Bakti dituai

Ini kisah seorang anak muridku.Aku mengajar dan mendidiknya sejak dari darjah Satu hingga ke darjah Enam.Segala yang aku ajarkan diterima dengan sepenuh hati.Tiada sedikit pun tingkah lakunya yang kurang menyenangkan hati.Setiap tahun keputusan peperiksaannya begitu membanggakan.Boleh dikatakan dia adalah murid yang cemerlang dalam akademik.Hinggalah beliau memperoleh keputusan UPSR sebagai calon yang terbaik dan terpilih melanjutkan pelajarannya ke Maktab Melayu Kuala Kangsar(MCKK).Aku begitu bersyukur kepada Allah bahawa usahaku selama ini menggalakkan.Ramai rakan-rakannya juga melanjutkan pelajaran di tempat yang terbaik.
Ibu bapanya begitu rapat denganku.Kami umpama kawan yang akrab.Banyak pandangan daripadanya ke arah yang positif.Setiap tahun apabila menjelang 16 Mei aku sering dihubungi bagi menyatakan "Selamat Hari Guru".Tak kiralah anak muridku maupun bapanya.Aku juga setiap tahun tidak lupa mengunjungi keluarganya setiap kali Hari Raya Aidil Fitri.Aku membawa semua anak-anakku untuk mengunjungi rumahnya.Di saat hari pernikahannya yang dirancang pada bulan Disember 2008 ditangguhkan kerana aku dan isteriku menunaikan fardu haji.Dia menyatakan tidak seronok jika tiada aku ketika saat hari gembiranya.
Di hari perkahwinannya aku dan isteri bersama anak-anakku hadir bagi meraikan majlis perkahwinannya.Dia begitu ceria dan gembira sekali.Aku mendoakan semoga dia memperoleh keberkatan dan keredhaan daripada Allah Taala.Semoga dia dan isterinya dipanjangkan jodoh hingga ke akhir hayat dan memperoleh cahaya mata yang cemerlang sepertinya.Begitulah kisahnya anak muridku ini yang bernama Rahmat Bin Sahim.Beliau kini bertugas sebagai Jurutera Petronas di Terengganu.Isteri beliau adalah seorang guru yang mengajar di Pahang.

Peristiwa 2009

Kenangan ketika menunaikan haji 2008

Peringatan di minggu akhir persekolahan

Hanya tinggal 5 hari saja lagi persekolahan tahun 2009 akan berakhir.Antara program pada minggu ini adalah Hari Kecemerlangan.Jawatankuasa Pengelola Hari Kecemerlangan perlu bergerak lebih proaktif dan kreatif dalam menjayakan aktiviti terakhir ini.Hari Isnin ini akan diadakan mesyuarat bagi membincangkan segala persediaan dan persiapan.Seandainya ada masalah perlu diselesaikan dengan segera.Perkara utama adalah senarai murid yang akan menerima hadiah dan sijil.Kemudian, senarai penerima hadiah tokoh-tokoh murid.Untuk makluman sekolah kita akan menjemput tuan Pengurus Felda Redong sebagai perasmi majlis. Selain itu, bagaimana pula persembahan murid.Adakah sudah memulakan latihan.Kita akan mulakan latihan persembahan dan menerima hadiah di dewan sekolah pada hari Selasa dan Rabu. Semua rakan perlu bekerjasama dalam melancarkan perjalanan program.Di samping mengadakan persediaan program Hari Kecemerlangan, tidak lupa juga pelbagai tugas lain akan dilakukan seperti mengemaskini fail-fail panitia,fail kokurikulum,fail-fail peribadi murid.Untuk fail kokurikulum perlulah disiapkan dengan laporan tahunan dan diminta hantar ke bilik GPK Kokurikulum.Murid akan naik kelas pada hari Selasa.Hari Rabu kita adakan raptai penuh Hari Kecemerlangan.Hari Jumaat,murid-murid akan bergotong-royong membersihkan kelas masing-masing.Semua guru akan bermesyuarat akhir tahun pada jam 10.00 pagi.Semua murid akan balik awal iaitu jam 9.45 pagi.Mengikut perancangan kita akan bermesyuarat untuk sessi 2010 pada 28/12/2009.Pada 29/12/2009 mesyuarat Panitia bermula.Hari berikutnya adalah hari pembayaran buku dan apa-apa aje.Hari Khamis 31/12/2009 pula adalah orientasi tahun 1. Murid tahun 2 - 6 pula akan mengadakan mesyuarat Rumah Sukan,Kelab dan Persatuan,Kelab Permainan dan Badan Beruniform.Hari Jumaat pula bolehlah membuat persediaan untuk mengemas kelas-kelas,mencari bahan sukatan pelajaran dan sebagainya.Itulah sahaja yang dapat digambarkan kepada rakan-rakan semua.

Friday, November 13, 2009

Panduan cara makan ikut sunnah nabi s.a.w

Nabi SAW pernah bersabda ; “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Kawan-kawan, sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah. Ulamak kata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Siapa amal sunnah, dia akan mendapat 2 keuntungan. Apa keuntungan itu?
1. Pahala yang berlipat ganda
2. Keberkatan.

Kali ini saya nak kongsikan dengan anda tentang sunnah-sunnah makan (setakat yang saya tahu). Bolehlah kita sama-sama amalkan yer.

Cara duduk ialah seperti duduk tahiyat awal tapi lutut kanan dinaikkan. Posisi duduknya ialah peha/lutut kanan dinaikkan manakala kita duduk pada bahagian kaki kiri.

Sebenarnya cara duduk sebegini banyak kebaikannya. Posisi ini dapat memberikan keselesaan pada perut dan ia menjaga keseimbangan komposisi ruang dalam perut kepada 3 bahagian. Iaitu 1/3 ruang adalah untuk makanan, 1/3 untuk udara dan 1/3 lagi adalah untuk air.

Makan menggunakan tangan. Bukan guna sudu / garfu, bukan guna chopstick. Tetapi guna tangan kanan. Ada kajian membuktikan bahawa, pada tangan / jari kita ni, ada enzim yang 10 kali ganda lebih banyak dari enzim yang ada dalam air liur. Enzim ini berguna untuk mencerna makanan.

Makan dengan menggunakan 3 jari. Ada orang kata, macammana nak makan dengan 3 jari saja. Susah la kalau nak makan nasi. Nabi dulu takperla, baginda banyak makan roti dan buah-buah kurma saja.Hmmm, tentang itu, saya ‘no comment’. Pada saya, kalau nak amalkan tak susah mana. Orang-orang Cina pun diorang makan guna chopstick jer…2 batang kayu jer guna. OK jer apa. So, macammana boleh kata susah untuk makan guna 3 jari??

Saya sarankan kepada mereka yang nak mula amal sunnah ini, gunakan 3 jari pada suapan pertama tu dulu. Lepas-lepas tu, bolehla makan macam biasa.

Apabila nampak makanan, disunatkan baca doa “Allahumma baariklana………”

Sebelum makan, disunnahkan untuk basuh kedua belah tangan dan juga berkumur-kumur. Ada banyak kelebihan bagi mereka yang mengamalkan perbuatan membasuh tangan dan berkumur ni.

Sebelum menyuapkan makanan ke dalam mulut, sila baca doa “Bismillahiwa’ala barokatillah“

Lepas makan, kita disunnahkan untuk menjilati jari-jari kita yang digunakan untuk mengambil makanan tadi. Hikmah kepada perbuatan ini, kandungan enzim yang ada pada tangan / jari kita tadi akan makin cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan.

Makan dalam satu dulang yang sama secara berjemaah. Sebenarnya cara ini akan meningkatkan rasa sayang terhadap sesama kita. Kalau suami isteri boleh amalkan makan dalam satu dulang, insyaAllah kemesraan akan lebih dapat dirasai dan kita akan jadi lebih saling faham memahami dan saling bertolak ansur. Amalan makan satu dulang ini juga dapat mengelakkan sebarang pembaziran.

Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Haaa yang ni nampak macam senang jer nak amal. Tapi sebenarnya susah gak nak amal. Biasanya kita makan ni ikut nafsu.Selagi tak kenyang, selagi tu lah kita ‘melantak’. Nak-nak pulak kalau kita pi makan kat hotel-hotel atau restoran yang menyediakan hidangan cara ‘buffet’. Memang sampai nak pecah perut, baru la berhenti makan. Betul tak? Saya tak cakap pada orang lain ni, saya cakap kat diri saya sendiri…huhu

Sekian, semoga kita sama-sama dapat amal.
Sumber : http://www.ptk.jpnkedah.net

Membentuk Anak yang hebat

Setiap permata hati yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita adalah unik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kadang-kadang permulaan sewaktu dari kecil sudah nampak keunikan kepada anak-anak kita tetapi ada juga sebahagiannya kehebatan anak-anak belum terserlah ketika di usia kecilnya. Ibu bapa perlu peka untuk dan sensitif dalam memerhatikan anak-anak.
lk
Sedar Keistimewaan Anak-Anak
lk
Sebahagian ibu bapa sering kecewa apabila melihat anak orang lain lebih hebat berbanding anaknya. Perbandingan telah menyebabkan ingin anak mereka menjadi sebagaimana anak orang lain di mata mereka. Sebenarnya situasi ini tanpa disedari, ibu bapa telah membentuk anak mereka tidak mengikut acuan dan potensi sebenar anak mereka. Ibu hanya ingin anak-anak mereka menjadi hebat mengikut acuan daripada kehebatan orang lain sedangkan hakikatnya anak mereka tidak mampu mencapai tahap yang diingikan oleh ibu bapa mereka.
lk
Bentuk Anak Mengikut Potensi
lk
Perlu diingtkan bahawa sebagai ibu bapa, kita perlu memerhatikan di mana kelebihan dan keunikan yang dimiliki oleh anak kita, kerana pengharapan ibu bapa yang bertentangan dengan kehendak anak-anak akan menjejaskan potensi sebenar yang dimiliki oleh mereka. Mungkin anak kita bukan seorang ahli sukan, maka jangan sekali-kali kita ibu bapa berkecil hati dan terus berharap untuk menjadikan mereka seorang ahli sukan. Potensi anak-anak sebenarnya telah diberikan oleh Allah SWT. Cuma terpulang pada kebijaksanaan ibu bapa untuk menggilap atau membiarkan potensi anak-anak malap begitu sahaja.
lk
Jadilah Mentor Yang Bermotivasi
lk
Sebagai pembimbing dan mentor kepada anak-anak, ibu bapa perlu memberikan galakan dan dorongan semaksimum mungkin kepada anak-anak untuk mencapai kecemerlangan melalui usaha yang gigih di samping memberikan tunjuk ajar dan strategi yang tepat agar setiap usaha dan bakat yang dimiliki oleh anak-anak akan membuahkan hasil. Apa yang lebih penting, sekiranya anak-anak diasuh mengikut keistimewaan dan keunikan yang dimilikinya maka sudah tentu anak-anak bukan sahaja berjaya bahkan mampu mengeluarkan potensi di tahap paling maksimum.
lk
Sumber artikel : Laman web Ustaz Ahmad Shukri Yusoff

Berkongsi Ilmu

DOA YANG SANGAT WAJAR DIAMALKAN DI ZAMAN INI (AYAT PENGERAK)

Oleh: Ismail bin Abu Bakar

Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut;


Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;



Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut;

1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;


1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.


Keberuntungan beramal dengan doa ini


Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.


Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.


Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

Mini Sukan Rakyat 2009

Aktiviti Mini Sukan Rakyat sekolah ini telah dijalankan pada 4 November 2009.Aktiviti ini bertujuan untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada semua murid sekolah ini.Antara permainan yang dijalankan adalah permainan ting-ting,galah panjang,konda-kondi,tarik upeh, timbang bulu ayam(cap tae)dan sebagainya.

Kembara di Taman Hutan Legenda Gunung Ledang

Aku mengikuti Perkhemahan Perdana Badan Beruniform SK LKTP Redong pada 6 - 8 November 2009 di Taman Hutan Legenda Gunung Ledang.Seramai 43 orang murid yang terdiri dari murid Tahun Empat,Tahun Lima dan Tahun Enam.Aku sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah ini dipertanggungjawabkan untuk memantau aktiviti ini agar ianya berjalan lancar dan selamat.Terima kasih kepada semua guru sekolah ini yang telah memberikan komitmen dan kerjasama yang jitu dalam menjayakan program perkhemahan ini.Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian.