SELAMAT BERINFORMASI

Thursday, November 25, 2010

Pengalaman baru

25 November 2010 jam 3.00 petang aku membawa anak lelaki ku ke klinik keluarga untuk berkhatan.Aku ingat doktor lelaki yang menyunatkannya.Rupa-rupanya doktor wanita.Nak wat camna terima aje lah maklumlah dia doktor.Setelah nama dipanggil aku pun bawalah anak ku ke bilik untuk persediaan menyunat.Seorang pembantu wanita bertugas menyediakan peralatan berkhatan sementara menunggu doktor memulakan tugasnya.
Tidak lama kemudian doktor pun datang dan terus memulakan proses menginjet untuk membius zakarnya.Kedengaran suara anak ku menjerit tapi tak lah kuat sangat kerana dicucuk.Aku tak berapa berani nak memerhatikan kerja menyunat yang dilakukan oleh doktor itu.Aku cuba juga bertanya atau bersembang dengan doktor tapi tak ada respon.Begitu serius sekali dia menjalankan kerjanya.Setelah selesai aku pun keluarlah dan mengambil ubat.Kemudian barulah balik ke rumah. Sampai di rumah anak ku diberikan ubat penahan sakit dan lain-lain.Tidak lama kemudian dia menangis sekuat-kuat hati kerana baru terasa kesakitan dan pedih.Aku biarkan ajelah nak buat macam mana.Sabar ajelah dengan kerenahnya yang manja tu.
Emaknya mengambil dua buah kerusi dan kayu ampai untuk buat tali gantung pada kainnya agar tak kena anunya.Kalau kena dia mengaduh kesakitan.Disebabkan lama juga dia menangis dan meraung kesakitan diberikan lagi ubat yang dibekalkan oleh klinik tadi.Kemudian barulah dia diam sambil menonton perlawanan hoki antara malaysia dengan pakistan.
Aku dan isteri pergi hantar sedikit bubur merah putih ke rumah cikgu tusyen dan saudara yang terdekat.
Menjelang maghrib barulah balik ke rumah dan dilihat anak ku tadi sudah terlena tidur keletihan.Biarlah dia merasakan kesakitan kerana inilah pengalaman untuk seorang yang bergelar lelaki.

Monday, November 22, 2010

Luahan Rasa Hati 2

Di saat rakan-rakan ku gembira kerana telah mendapat surat pertukaran alangkah gembiranya mereka.Mereka diraikan dengan penuh rasa hormat dan disayangi.Majlis diadakan walaupun sederhana.Namun di hati mereka rasa terharu dan sedih untuk meninggalkan tempat bekerja yang telah lama mereka nikmati dan mencurahkan bakti.
Pelbagai hadiah diberi untuk mereka walau hanya baru setahun dua berbakti.Rasa kasih sayang dan penghormatan yang diberi menunjukkan betapa akrabnya persahabatan antara rakan sekerja. Tambahan pula penglibatan semua rakan memberikan sokongan dan motivasi untuk mereka meneruskan perjuangan di tempat baru.
Di saat itu hati ku berdetik dan sedih mengenangkan nasib diriku.Ketika aku bertukar sekolah dahulu kerana aku dinaikkan pangkat.Perasaan gembira tu ada.Maklumlah aku dah berjanji pada diriku aku akan bertukar sekolah sekiranya aku dinaikkan pangkat.Doa ku termakbul sudah. Lantaran selepas pulang dari menunaikan fardhu haji doaku dimakbulkan.Aku menerima jawatan sebagai GPK Kokurikulum di sekolah LKTP Redong.
Aku terus melaporkan diri di sekolah itu.Aku terus sahaja ke sekolah itu pada hari pertama persekolahan tahun 2009. Hampir seminggu persekolahan berlalu,aku tak kisahkan tentang apa yang patut dilakukan oleh sekolah lamaku tentang perpindahan aku.Aku rasa tawar hati kerana cara mereka melayani aku yang telah berkhidmat di sekolah itu hampir 20 tahun lamanya.
Hinggalah satu hari aku di hubungi dengan panggilan telefon meminta aku hadir ke satu majlis meraikan perpindahan aku.
Majlis dinyatakan jam 12.30 tengah hari.Aku datang sebelum waktunya iaitu kira-kira 12.15. Ketika sampai tiada siapa yang aku lihat.Aku terus ke bilik guru untuk mengambil barangan aku yang masih ada seperti fail peribadi ku dan beberapa dokumen.Kemudian aku bertanya rakan ku bila majlis hendak dimulakan.Nampaknya terpaksalah aku menunggu hingga jam 1.3o petang.
Pengacara memulakan majlis dengan bacaan doa.Kemudian dipersilakan menjamu selera.Semua rakan-rakan meluru ke meja makan dengan mengambil makanan masing-masing secara layan diri.Aku hanya berdiam diri.Aku ni tetamu takkan lah nak ambil makanan macam mereka.Aku dijemput untuk hadir.Perasan di hati begitu sebak dengan tingkah laku rakan-rakan yang makan macam orang yang sudah seminggu tak makan.Aku seperti orang asing.Mujurlah isteriku mengambil makanan untuk aku.Kalau ikut rasa hati aku ingin pergi dari situ untuk pulang.Betapa hancur perasaan di hati ini.Majlis meraikan aku begini cara yang mereka lakukan. Aku tak mengharap majlis ini begitu grand.Tapi rasa hormat rakan pada ku tak seperti yang aku harapkan.Begini lah nasib diriku.Aku terima lah dengan redha.Mudah-mudahan ada hikmah di sebaliknya.

Thursday, November 11, 2010

UPSR 2010



Pagi tadi tepat jam 11.00,bermulalah satu majlis mengumumkan keputusan UPSR 2010.Bermula dengan bacaan doa yang aku sendiri bacakan agar majlis diberkati.Kemudian ucapan dari GPK 1 yang menyampaikan peratusan dan bilangan calon yang mencapai 5 A.
Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan guru besar yang menyatakan rasa syukur beliau atas kecemerlangan UPSR sekolah ini.Beliau menginginkan pada tahun hadapan agar daripada 11 calon yang berjaya tahun ini akan ditingkatkan kepada 12 orang untuk tahun depan.
Ucapan seterusnya daripada pengurus felda redong En Ali Bin Osman.Beliau berasa begitu gembira atas kecemerlangan ini.
Kemudian pengacara meminta cikgu Norhanizan membacakan keputusan untuk kelas 6 Bersih dan slip keputusan disampaikan oleh Pengurus Felda.Ibu bapa yang hadir mengiringi anak untuk menerima slip keputusan UPSR.Suasana yang ceria dan gembira dengan deraian air mata daripada calon-calon yang kurang berjaya.Apakan daya hanya itu sahajalah yang mampu diusahakan. Kenalah redha atas keputusan yang telah dikeluarkan.
Setelah tamat untuk 6 Bersih,cikgu Noralazmi pula membacakan keputusan untuk kelas 6 Amanah.Beliau menggantikan cikgu Mohd Giman guru kelas 6 Amanah kerana pergi kursus. Keputusan dibacakan untuk murid yang mencapai kejayaan dari 4 A ke bawah.
Seterusnya cikgu Shamsul membacakan keputusan murid yang mencapai 5 A.Begitu terharu dan sayunya wajah2 mereka dengan linangan air mata tanda gembira dan perasaan sebak serta rasa bersyukur pada wajah mereka yang telah berjaya.Begitu juga dengan para ibu dan bapa yang turut bergembira atas kejayaan anak-anak mereka.
Inilah saat yang menggembirakan di hati para guru.Rasa puas atas usaha yang dilakukan selama 8 bulan yang lalu.Sesungguhnya inilah hadiah yang paling besar iaitu kejayaan anak-anak didik dalam mencapai keputusan 5A dalam UPSR mereka.Harapan para guru agar anak didik mereka bukan sahaja berjaya dalam akademik bahkan berjaya dalam menjaga sahsiah mereka demi masa hadapan mereka.

Sunday, November 7, 2010

Trip ke Kelantan dan Terengganu

4 November 2010 jam 9.30 malam rombongan kami dari SK LKTP Redong mula bergerak menuju ke destinasi di Kelantan iaitu Rantau Panjang.Perjalanan malam yang hening menenangkan fikiran kami semua.Masing-masing begitu terkesima dengan perjalanan ini.
Kami berhenti minum di R & R Muadzam untuk menghilangkan rasa letih dan penat dalam perjalanan ini.Kemudian kami mulalah bergerak semula setelah tekak dibasahi dan perut diisi dengan sedikit makanan.
Sesekali singgah di stesen minyak untuk membuang hajat maklum dalam suasana malam yang sejuk memudahkan segala toksid dalam badan untuk dialirkan keluar.Kalau dibiarkan akan mencengkam rasa tak selesa dan boleh membawa penyakit.
Sesekali tertidur juga aku dalam perjalanan itu.Kami singgah di sebuah masjid selepas melalui Felda Chalok.Tepat jam 5.30 pagi kami singgah untuk solat Subuh.Aku mandi di pagi itu.Kalau tak mandi rasa tak selesa pulak nanti maklumlah kalau nak ke tempat penginapan dah petang.
Kami dimaklumkan keadaan di Rantau Panjang boleh pergi kerana keadaan banjir dah surut.Kami bersyukur kerana perjalanan kami direstui Allah dan sampai di Rantau Panjang jam menunjukkan pukul 8.00.Kedai-kedai baru nak mula beroperasi.Kami singgah dahulu di sebuah kedai makan untuk bersarapan pagi.
Setelah bersarapan kami mulalah bergerak di sekitar pekan ini sambil membeli-belah apa saja keperluan dan barang yang diinginkan.Suasana di sana mengingatkan aku ketika berada di Johor Bahru.Kawasan pasar yang luas dengan gerai-gerai yang banyak.Di JB suasana itu telah bertukar,tapi di Kelantan ni masih lagi cara lama.Aku belilah sedikit barang yang diminta oleh anak-anakku.Ada yang hendak patung mainan,baju dan sebagainya.Layan ajelah kehendak anak-anak ni.Dah gi jalan jauh belilah barang untuk kenangan mereka.
Selepas membeli belah,jam 1.00 tengah hari kami bertolak ke Kota Bharu.Lebih kurang setengah jam perjalanan kami pun sampai.Orang ramai telah mula keluar dari Masjid setelah selesai solat Jumaat.Kami ni musafir tak wajiblah untuk solat Jumaat.Kami pun pergilah ke masjid Al Muhammadi untuk solat Zohor dan Asar secara Jamak Takdim.Aku memimpin rakan-rakan guru dan murid-murid untuk solat ini.
Selepas solat selesai,aku menghampiri sebuah gerai menjual pakaian untuk solat.Aku belilah sehelai baju yang aku rasa menarik dan sesuai untuk aku pakai ketika bersolat.Tanpa tawar aku belilah sehelai dengan harga RM33.00.Setelah isteri dan 2 anak perempuan ku selesai solat kami semua pergilah ke Pasar Khatijah.Di sana kami menuju ke gerai makan untuk makan tengah hari. Aku memesan makanan nasi putih dan lauk serta sayur untuk kami makan sekeluarga. Manakala murid yang lain makan mengikut selera masing-masing.Selepas selesai makan kami berjalanlah di sekita pasar Khatijah melihat barangan jualan yang ada di situ.Aku tak beli apa-apa kat situ.
Kemudian kami berkumpullah untuk perjalanan ke Kuala Terengganu.Perjalanan bermula jam 3.30 petang dan kami sampai di Kuala Terengganu jam 7.00 malam.Kami berhenti di rumah penginapan Kak Dah.Setelah selesai mengagihkan kedudukan bilik masing-masing,kami semua bersiaplah diri untuk solat Maghrib dan Isyak secara Jamak Qasar.Setelah semuanya selesai,kami pun pergilah makan malam di sebuah gerai makan yang dicadangkan oleh tuan punya rumah tumpangan tersebut.Boleh tahan juga masakan makanan yang disediakan.Setelah itu aku sekeluarga pergilah merayau nak cari kain songket untuk samping.Pergilah singgah kat sebuah kedai tu.Masuklah kami sekeluarga sambil tengok banyak kain songket yang dipamerkan.Bertanyalah aku kepada yang empunya kedai tentang harga sehelai kain songket yang aku tunjukkan.Waduh mahalnya.Pada tanda harga dah RM550.Bila ditanya dia berikan harga RM350.Garu kepala juga.tapi isteri aku berminat pula dengan corak songket pada kain yang aku tunjukkan.Tuan kedai berilah contoh kain songket yang murah anggaran RM150.tapi kurang menarik perhatian isteriku.Ok lah katanya hari dah malam saya beri harga RM250.Aku apa lagi setuju ajelah.Maka dibayar ajelah isteri aku kepada tuan punya kedai itu.
Dalam perjalan menuju ke rumah tumpangan, kelihatan semua ahli rombongan sudah berada di dalam bas.Kami anak beranak berlarilah taku kena tinggal nanti.Rupa-rupanya mereka sedang menunggu kami untuk bersiar di Dataran Shahbandar.
Tiba di Dataran Shah bandar,kami bersantailah menikmati suasana pantai laut China Selatan yang berombak.Kami bergambarlah anak-beranak sambil menikmati keindahan alam pada malam itu.Selepas itu kami semua balik semula ke rumah tumpangan.Aku kepenatan dan terus tidur tanpa menghiraukan suasana ketika itu.
Jam 5.00 pagi barulah sedar dan terus mandi serta bersiap untuk solat subuh.Kami berjemaah untuk solat subuh.Sementara menunggu hari siang aku baring sebentar sambil merehatkan badan.Jam 7.00 pagi aku sekeluarga keluar sebentar mencari sarapan pagi.Adalah disebelah rumah tumpangan tu ada gerai makan.Wah apa lagi aku memesan teh panas dan nasi lemak.Isteri ku ambilkan sedikit kuih yang ada untuk di makan.Selepas sarapan naik semula ke rumah tumpangan untuk berkemas kerana jam 8.00 pagi kami semua akan bertolak ke rumah Mertua cikgu Rahmawati untuk sarapan nasi dagang.
Tunggu punya tunggu jam 9.00 barulah mula bergerak.Kami sampai di rumah tersebut dan di sambut oleh keluarga Mertu cikgu Rahmawati.Ucapan diberikan oleh bapa mertuanya dan aku kenalah balas balik ucapan tanda terima kasih kerana sudi menerima rombongan ini ke rumah beliau.Begitu berselera sekali yang hadir menikmati juadah nasi dagang dan pelbagai makanan lagi.Makanan yang tak habis di makan di bungkus untuk bekalan ketika dalam perjalanan.
Selepas bersalaman kami mula bergerak menuju ke Muzium Negeri.Kami sampai jam 10.00 pagi.Ada pameran haiwan berbisa diadakan di situ.Penat juga aku berjalanan di sekitar muzium yang luas itu.Jam 11.30 kami bergerak ke Pusat Tamadun Islam.Di sana ada yang masuk ke muzium monumen masjid.Aku tak masuk.Kalau masuk tak larat nak jalan.Aku bergerak ke Masjid Kristal melihat keunikannya.Aku bersolat sunat di dalamnya dan juga mengambil gambar untuk kenangan.
Kemudian kami singgah sekejap di Losong untuk beli keropok.Aku belilah keropok yang dah digoreng untuk dimakan.Kami tak beli keropok lekor basah kerana kami semua dah buat tempahan di tempat lain yang lebih sedap.
Selepas itu kami bergerak ke Pasar Besar Payang.Tiba di sana aku sekeluarga menuju ke masjid untuk solat Zohor dan Asar Jamak Qasar.Kemudian barulah pergi ke pasar payang.Kami makan tengah hari di sana.Kemudian berjalan di sekitarnya tapi tak beli apa-apa kerana barangannya hampir sama.
Jam 4.00 petang barulah bergerak ke Seberang Takir untuk ambil keropok yang telah ditempah.Tiba di sana memang ramai orang yang sedang menunggu giliran untuk membeli keropok.Masing-masing kena ambil nombor nak buat tempahan.Mujur kami semua telah menempah sehari sebelumnya.Kalau tidak sampai ke malamlah menunggunya.
Setelah keropok yang dibeli diagih-agihkan sesama kami yang menempah,kami meneruskan perjalanan balik ke Segamat.Memang terasa jauhnya perjalanan kami.Kami tiba di Kemaman dan berhenti untuk solat Maghrib dan Isyak Jamak Qasar.Kemudian aku sekeluarga makan di gerai makanan yang ada.Aku hanya pesan roti bakar dan air radix aje.Makan waktu malam kena kurangkan nanti perut boroi.Nak jaga kesihatan maklumlah dah berumur.
Setelah itu kami meneruskan perjalanan balik ke Redong.Singgah sebentar di Stesen Petronas Muadzam untuk membuang hajat kecil.Kami meneruskan perjalanan tanpa henti hinggalah ke Felda Redong dan sampai pada pukul 2.20 pagi.Aku sekeluarga tiba di rumah hampir jam 3.00 pagi.Setelah membersihkan diri lalu terus tidur.Terasa begitu letih dan penat.Kaki terasa kejang dan mata begitu mengantuk.Setelah solat subuh maka tidur diteruskan lagi.Hingga jam 11.00 pagi barulah bangun kerana perut dah menyanyi.Mujurlah dua anak dara aku dah bangun dan menyiapkan sarapan.Keropok lekor dah digorengnya,pakaian dah dibasuh dan diampaikan. Sejuk rasa hati melihat anak-anakku begitu.Bersyukur kepada Allah atas semuanya ini.